mutakhir

'Dari OKU, kepada OKU'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENGALAMAN bekerja di pusat penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kulai selama 27 tahun memberikan ilham kepada Mohd Yahya Haidrus @ Idrus untuk menubuhkan Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor, lebih setahun lalu.

Mohd Yahya, 47, menubuhkan pertubuhan itu antara lain bagi menyediakan tempat kebajikan dan penjagaan kepada kanak-kanak OKU dengan menyediakan pelbagai terapi yang diperlukan bagi membolehkan golongan itu menjalani kehidupan lebih baik di masa akan datang.

“Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja di Kulai selama 27 tahun, sehinggalah saya fikir mahu membuka pusat jagaan OKU sendiri di Taman Johor Jaya.

“Kebanyakan rumah seumpama ini hanya memberi khidmat penjagaan sahaja, tetapi saya mahu menyediakan terapi dan latihan supaya kanak-kanak OKU ini boleh menyumbang sesuatu pada diri mereka dan keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Anak jati Segamat itu ditemui selepas menerima Anugerah Tokoh OKU Negeri Johor pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, OKU, Warga Emas dan Sukarelawan Peringkat Negeri Johor 2018 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Mohd Yahya yang juga OKU fizikal sejak kecil akibat demam panas menerima piala, sijil dan wang tunai RM2,000.

Bapa kepada tujuh orang anak berusia 11 hingga 20 tahun itu pernah menerima Doktor Falsafah Kehormat dalam kerja sosial daripada sebuah universiti antarabangsa di Kuala Lumpur.

Pertubuhannya yang dijadikan sebagai kediaman atau asrama kanak-kanak OKU itu kini menempatkan 14 OKU berusia antara tiga hingga 16 tahun dengan pelbagai kecacatan seperti mental, autisme dan sindrom down.

Mohd Yahya berkata, anugerah diterima itu dapat menyuntik semangatnya untuk terus melakukan yang terbaik dan menambaik khidmatnya dalam membantu golongan OKU lain.

“Sebagai OKU, jangan jadikan kekurangan kita sebagai halangan untuk berjaya. Ubah persepsi terhadap diri sendiri serta ubah pemikiran daripada tidak boleh kepada boleh.

“Ambil peluang untuk memajukan diri. Kepada masyarakat atau ibu bapa, jangan malu jika mempunyai ahli keluarga OKU. Semaikan kesedaran untuk membantu golongan OKU ini,” katanya yang ditemani isteri, Rokiah Mohd Ali, 43.

Pada majlis itu, sebanyak 25 anugerah diberikan membabitkan empat kategori iaitu kanak-kanak, OKU, warga emas dan sukarelawan.

Dalam ucapannya, Liow berkata, sebagai masyarakat yang prihatin mestilah mempunyai rasa kasih, sayang, bertanggungjawab dan perasaan mengambil berat dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan golongan ini diberi keutamaan.

“Masyarakat perlu terus mengekalkan budaya saling menghormati dan hidup harmoni tanpa mengira umur, latar belakang dan warna kulit.

“Kesedaran masyarakat mengenai hak dan keperluan hidup khususnya buat warga emas dan kanak-kanak perlu dipupuk,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Dr Sopian Brahim; Datuk Bandar Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 12:00am
d