mutakhir

'PDRM tak pernah tanya soalan bodoh itu'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menegaskan bekas pegawai eksekutif PetroSaudi International Ltd (PteroSaudi), Xavier Andre Justo menipu apabila mengeluarkan kenyataan bahawa polis Malaysia memaksa dia mengaku bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri terbaik.

Amar Singh dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara dinyatakan Justo itu satu penipuan termasuk merujuk kepada kenyataan bahawa lelaki itu disuruh mengaku sebagai orang jahat, sukakan wang dan Tarek (Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi) serta PetroSaudi adalah baik ketika pertemuan di penjara di bangkok, tiga tahun lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, dalam sesi pertemuan membabitkan tiga pegawai PDRM diketuainya ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Siasatan/Perundangan), pada 15 Disember 2015 di penjara di Bangkok, soalan polis menjurus kepada peras ugut pihak ketiga yang memiliki data dicuri berikutan boleh mengancam keselamatan negara.

Katanya, dalam pertemuan dengan Justo, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan sebanyak 57 soalan kepadanya.

Soalan itu pula merangkumi lima isu iaitu pertama membabitkan soalan pengenalan, keluarga dan latar akademik, manakala isu kedua pula membabitkan soalan khusus berkaitan PetroSaudi.

"Isu ketiga pula membabitkan soalan khusus berkaitan Clare Rewcastle Brown, isu keempat pula adalah soalan khusus mengenai rundingan pertukaran maklumat, dokumen serta data.

"Manakala isu kelima pula berkaitan masalah umum membabitkan keselamatan negara," katanya.

Menurut Amar Singh, adalah jelas bahawa soalan yang dijawab oleh Justo itu tidak relevan dengan siasatan dijalankan PDRM dan adalah tidak wajar bertanya soalan seperti itu.

Katanya, soalan menyebut Justo sebagai lelaki jahat, sukakan wang dan Tarek serta PetroSaudi adalah baik selain soalan mengenai Najib adalah Perdana Menteri terbaik, langsung tidak relevan dengan siasatan dijalan PDRM yang lebih profesional.

"Jadi, menjawab kenyataan Justo itu, saya ingin menegaskan bahawa PDRM tidak pernah bertanya soalan bodoh itu. Polis mempunyai kenyataan lengkap Justo dan tidak terdapat langsung soalan seperti itu ditanya kepadanya," katanya.

Amar Singh berkata, soal siasat dijalankan terhadap Justo pada ketika itu dibuat mengikut Seksyen 124B/124J Kanun Keseksaan berdasarkan laporan polis di Sentul serta membabitkan maklumat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi yang bocor menerusi emel.

Katanya, tujuan soal siasat dengan Justo pada ketika itu bagi mendapatkan kenyataan menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

"Kenyataan Justo itu direkodkan oleh pihak berkuasa Thailand menggunakan penterjemah bahasa Inggeris dan pegawai PDRM hadir sebagai saksi.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 12:17am
d