mutakhir

Selit cukai baharu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Cyberjaya: Kementerian Kewangan mengesahkan satu cukai baharu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sesi pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, ia sejenis cukai yang berbeza, namun cukai baharu itu tidak membebankan rakyat.

“Sebaliknya, kutipannya digunakan kembali bagi tujuan kepentingan rakyat serta mengurangkan beban untuk membayar balik hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya ingat, apapun kita biar Menteri Kewangan bentang mengenai cukai itu esok (hari ini).

“Apa yang penting, hasil kutipan cukai itu digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi kerajaan, memastikan agenda pembangunan diteruskan, merapatkan jurang pembangunan luar bandar dan bandar serta menyelesaikan hutang kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Akauntan Negara, Dr Yaacob Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau berkata, cukai baharu itu dicadangkan Jawatankuasa Reformasi Cukai yang dibentuk Kementerian Kewangan baru-baru ini, bertujuan mengkaji langkah yang sewajarnya diambil bagi meningkatkan cukai secara progresif tanpa membebankan golongan isi rumah berpendapatan B40.

Amiruddin berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Hasmah Abdullah.

Menurutnya, jawatankuasa sama turut mengenal pasti jurang percukaian termasuk menangani ketirisan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, penyemakan keberkesanan insentif cukai, mencari cara meminimumkan kebocoran cukai dan mengkaji semula sistem percukaian secara menyeluruh.

Sebelum ini, Guan Eng ketika sesi Parlimen pertengahan bulan lalu masih berteka-teki dan sekadar memberi bayangan mengenai pelaksanaan cukai baharu berkenaan.

Menurutnya, cukai baharu itu dijangka dapat menjana pendapatan tambahan kepada negara selepas mengakui peralihan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyaksikan penyusutan pendapatan bersih kerajaan.

Sementara itu, Sabin dalam ucapannya berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi aktiviti percukaian bagi mencapai sasaran kutipan cukai ditetapkan kementerian iaitu RM140.113 bilion pada tahun ini.

Menurutnya, LHDN juga akan melaksanakan sebarang mandat dan amanat baru yang bakal diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2019.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 10:04am
d