mutakhir

'Idam' RM3.2 juta, tapi rugi RM236,900

Oleh Shahrinnahar Latib

SURI rumah berputih mata apabila rugi RM236,900 dipercayai diperdaya sindiket penipuan akibat gelap mata dengan tawaran hadiah lumayan, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita, 33, dari Sungai Ruan itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 22 Oktober lalu mendakwa mangsa memenangi hadiah wang tunai RM216,240.

Menurutnya, mangsa diyakinkan oleh suspek kononnya dia berjaya mendapat hadiah berkenaan selepas dipilih oleh syarikat yang beroperasi di Hong Kong.

“Bagaimanapun, untuk mendapat hadiah wang tunai itu, mangsa diminta membayar RM6,860 untuk proses tuntutan. Mangsa kemudian membuat bayaran berkenaan ke dalam satu akaun yang diberi suspek.

“Suspek mendakwa akaun berkenaan milik wakil syarikat yang menguruskan bahagian pindahan wang ke Hong Kong dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, suspek meminta mangsa membayar sejumlah wang lagi bagi mendapatkan hadiah kemenangan berkenaan dengan diberikan pelbagai alasan.

“Suspek juga mendakwa wang berkenaan dilaburkan terlebih dahulu dan akan memberikan pulangan sebanyak RM3.2 juta kepada mangsa.

“Mangsa yang gelap mata dengan wang sebanyak itu kemudian membuat transaksi sebanyak sembilan kali ke dalam empat akaun menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM236,900,” katanya.

Menurutnya, suspek terus meminta mangsa menambah bayaran, namun dia menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

Katanya, modus operandi sindiket itu dengan menawarkan hadiah kemenangan serta keuntungan pelaburan dan meminta mangsa membuat bayaran.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 10:35am
d