mutakhir

Dalang tua kes samun dicekup

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BERPURA-PURA mengenali mangsa dan menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) menjadi modus operandi seorang lelaki melakukan kegiatan samun di Kulim dan Pulau Pinang.

Suspek berusia 60 tahun dikatakan akan mengajak mangsa menaiki kereta Perodua Axia miliknya sebelum mereka akan dibawa ke lokasi tertentu lalu disamun.

Bagaimanapun, tindakan licik suspek berakhir apabila dia ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang jam 5.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, bagi kes di Kulim, seorang wanita berusia 30-an yang sedang menunggu bas berhampiran Kunci Rimbun, Sungai Ular didatangi suspek jam 10.40 pagi 29 Oktober lalu, dengan memperkenalkan diri sebagai pekerja JKR.

Menurutnya, suspek kemudian mempelawa wanita itu menumpangnya kerana ingin menuju ke destinasi sama menyebabkan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa mengikutnya.

“Sebaik tiba di hadapan sebuah farmasi, mangsa meminta suspek memberhentikan kereta kerana ingin membeli ubat, namun lelaki itu meneruskan perjalanan dengan memberi alasan adiknya sedang menunggu untuk dibawa ke klinik.

“Mangsa terus dibawa ke kawasan air terjun di Putih Junjong, Kulim sebelum suspek terus mengunci kereta dan bertindak mengacukan pisau ke lehernya dan pemutar skru diletakkan di pinggang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek kemudian mengambil beg tangan dan seutas rantai tangan emas bersama wang tunai RM150 dan telefon bimbit milik mangsa.

“Suspek juga bertindak mencabul mangsa sebelum menghantar wanita terbabit ke Pekan Junjong dan melarikan diri menyebabkan dia kerugian RM1,600.

“Susulan itu, polis bertindak mengesannya sebelum anggota IPD Seberang Perai Utara berjaya menahan suspek dan merampas kereta Perodua Axia, semalam,” katanya.

Menurutnya, suspek mengaku terbabit dalam empat kes samun di sekitar Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Kulim, malah semakan mendapati dia memiliki tujuh rekod jenayah dan satu kes orang dikehendaki.

“Beberapa barangan hasil samun turut ditemui semula. Suspek akan direman di Seberang Perai Utara, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 11:37am
d