mutakhir

6 warga Nepal parah dalam nahas

Oleh Nurul Amanina Suhaini

ENAM lelaki warga Nepal parah apabila van dinaiki bertembung dengan kontena mesin pengorek berhampiran kawasan pembinaan Terminal Perairan Dalam Pengerang, Sungai Rengit, Kota Tinggi, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar Pegawai Bomba Kanan II Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat jam 8.13 pagi sebelum sebuah jentera dan jentera EMRS dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila van berkenaan hilang kawalan lalu melanggar kontena yang berada dalam keadaan parkir.

“Pelanggaran terbabit mengakibatkan enam lelaki cedera parah, manakala lima lelaki lain hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu van dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan sebelah lalu merempuh kontena berkenaan mengakibatkan bahagian depan kenderaan itu remuk.

“Kesemua mangsa berusia 25 hingga 30-an yang cedera dihantar ke Pusat Kesihatan Sungai Rengit untuk rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 11:50am
d