mutakhir

Padah tawar khidmat kiriman wang tanpa lesen

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMILIK sebuah syarikat kiriman wang dipenjara sehari dan denda RM65,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas dua pertuduhan menjalankan perkhidmatan itu tanpa lesen dan kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM).

Pemilik tunggal Fathima Warisan Enterprise, Mohd Reezudeen Abdul Salam, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Tertuduh didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan iaitu pengiriman wang tanpa lesen mengikut Seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731).

Kesalahan terbabit dilakukan di sebuah pasar raya di Taman Komersil Senawang antara 4 Ogos hingga 17 Ogos 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Reezudeen didakwa menggunakan perkataan ‘Kiriman Wang Ke Indonesia’ pada pelekat iklan tanpa mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM, di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 23(3) akta sama yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa BNM Edward Chan Wei Heng, Kesinee Aiyalu dan Tan Pheng Chew manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon dikenakan hukuman paling ringan kerana ia adalah kesalahan pertama, selain tidak bekerja sejak setahun lalu disebabkan menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit kencing manis.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM50,000 bagi pertuduhan pertama, manakala denda RM15,000 bagi pertuduhan kedua selain memerintahkan tambahan penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 12:43pm
d