mutakhir

Suspek kes bunuh ibu tunggal, rakan lelaki, ditahan

Oleh Mary Victoria Dass

POLIS Johor menahan suspek lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang ibu tunggal dan rakan lelakinya di flet di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Johor Bahru, yang mayatnya ditemui pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad

berkata, suspek berusia 56 tahun.

Bagaimanapun, pihaknya enggan mengulas lanjut berhubung penahanan suspek berkenaan.

“Sehingga kini, siasatan berjalan lancar,” katanya.

Pada kejadian 9 pagi semalam, K Kamala, 51 dan S Silvaraja, 59, ditemui mati oleh anak perempuan Kamala yang berusia 31 tahun sebaik pulang dari bekerja di Singapura

Mayat wanita berkenaan yang bekerja sebagai tukang cuci di Singapura ditemui di bilik tidur dengan kesan tetakan di bahagian belakang badan.

Mayat lelaki terbabit pula ditemui di bahagian ruang tamu di kediaman milik Kamala dengan kesan kecederaan kelar.

Sejumlah wang tunai dan barang kemas milik Kamala juga dilaporkan hilang.

Difahamkan, polis mengesyaki sekurang-kurangnya dua atau lebih daripada dua suspek terbabit dalam kes berkenaan.

Suspek juga didapati menabur serbuk kunyit di merata tempat dipercayai bagi mengelakkan pihak polis menjejaki kumpulan suspek.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Ibu tunggal, lelaki mati ditetak [METROTV]

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 5:07pm
d