mutakhir

Insurans untuk rakyat diperkenalkan

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

BERMULA 1 Januari depan, Dana Perlindungan Kesihatan Nasional diperkenalkan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, dana usaha sama dengan syarikat insurans swasta itu menawar perlindungan percuma ke atas empat penyakit kritikal utama sehingga nilai RM8,000.

Katanya, ia juga akan mencakupi pendapatan gantian semasa untuk tempoh maksimum selama 14 hari pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.

“Kerajaan menghargai sumbangan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd atas persetujuan mencarum RM2 bilion dalam dana permulaan yang akan diuruskan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kerajaan menjangkakan saiz dana berkembang dengan pembabitan syarikat insurans lain, malah ini ialah peralihan besar dalam usaha mewujudkan jaringan keselamatan sosial secara komprehensif.

“Ia merangkumi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta institusi perlindungan sosial yang lain,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 6:02pm
d