mutakhir

SPRM tahan tiga guru termasuk guru besar

Oleh Zanariah Abd Mutalib

TIGA guru lelaki termasuk seorang guru besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah untuk menyokong permohonan pertukaran sekolah seorang guru.

Sumber SPRM berkata, mereka yang bertugas di sekolah rendah di Klang itu ditahan di sebuah restoran di Pelabuhan Klang jam 3.20 petang hari ini.

Katanya, guru besar berkenaan berusia 52 tahun, manakala dua guru lagi masing-masing berusia 41 dan 35 tahun.

“Wang tunai sebanyak RM5,000 turut disita di lokasi tangkapan,” katanya.

Menurutnya, guru berusia 41 tahun dikatakan meminta dan menerima wang suapan daripada pengadu sebanyak RM5,000 sebagai balasan untuk memohon guru besar menyokong permohonan pengadu untuk bertukar ke sekolah lain.

Katanya, kesemua mereka akan direman di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 6:44pm
d