mutakhir

Pesara dapat imbuhan berganda

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

BANTUAN RM500 secara ‘one-off’ atau sekali beri akan disalurkan kepada pesara kerajaan yang berkelayakan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, peruntukan itu ialah cerminan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan dan rungutan disuarakan pesara kerajaan.

“Ada dalam kalangan mereka (pesara kerajaan) yang masih menerima pencen kurang daripada RM1,000.

“Oleh itu, kerajaan akan beri bantuan ‘one-off’ ini kepada mereka yang layak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjadi kelaziman setiap kali pembentangan belanjawan, Guan Eng turut mengumumkan bayaran khas RM250 kepada pesara kerajaan, manakala RM500 untuk penjawat awam gred 54 ke bawah.

Bayaran khas membabitkan peruntukan RM1 bilion itu, katanya, akan diberikan kepada penerima sebelum hujung tahun ini berbanding amalan pentadbiran terdahulu yang lazimnya hanya melunaskan dana terbabit pada awal tahun depan.

“Ini adalah tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi semua penjawat awam semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan turut mencadangkan supaya caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk majikan dikurangkan kepada empat peratus, berbanding enam peratus mulai 1 Januari 2019.

Katanya, ia bertujuan menggalakkan peluang pekerjaan bagi golongan berumur 60 tahun ke atas.

“Golongan pekerja ini (berusia 60 tahun ke atas) tidak perlu mencarum, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

“Dicadangkan juga supaya potongan cukai tambahan diberikan kepada majikan terhadap perbelanjaan penggajian golongan ini (60 tahun ke atas) dengan had jumlah saraan sebanyak RM4,000 sebulan.

“Langkah ini bagi menggalakkan syarikat mengambil semula golongan pekerja dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas, terutamanya golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40),” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 7:25pm
d