mutakhir

Lebuhraya Pan Borneo diteruskan

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

KERAJAAN memberi jaminan meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada kajian rasionalisasi kos projek berkenaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Lebuhraya Pan Borneo adalah janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian jalan raya Lebuhraya Trans-Kalimantan, Indonesia.

Lebuh raya sejauh 2,325km menyediakan laluan empat lorong dua hala itu dijadualkan siap pada 2022. Projek itu dibiayai Kerajaan Pusat dengan kos anggaran RM29 bilion.

Laporan sehingga 25 Mei lalu mengesahkan kira-kira 22 peratus pembinaan projek di Sarawak sudah siap dan ia merekodkan dua peratus ke depan mendahului jadual asalnya.

Terdahulu, Guan Eng berkata, kerajaan akan memastikan Sabah dan Sarawak terus dibangunkan yang mana RM5 bilion diperuntukkan untuk Sabah berbanding RM4.1 bilion pada 2018.

Bagi Sarawak pula, katanya, sejumlah RM4.346 bilion diperuntukkan berbanding RM4.336 bilion pada 2018.

“Projek di Sabah dan Sarawak akan merangkumi pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan, serta pembangunan koridor ekonomi masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 9:02pm
d