mutakhir

Sukarnya urus badan 200kg

Oleh Ahmad Ismail

BERAT badan yang mencecah 200 kilogram (kg) menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun tidak mampu menguruskan diri sendiri dan hanya terbaring di katil sejak kira-kira enam bulan lalu di rumahnya di Taman Bunga Raya, Gemereh, dekat Segamat.

Norazlina Ramli menghadapi masalah pertambahan berat badan luar biasa disebabkan masalah hormon dan kini hanya bergantung harap neneknya, Aminah Kalop, 84, yang menjaganya sejak kecil dan ibu saudaranya, Roslina Mahfoh, 44.

Pendapatan Aminah pula hanya daripada wang pencen bulanan sebanyak RM550, selain Roslina yang membantu mengemas rumah dan menguruskan Norazlina.

Norazlina berkata, masalah berat badan itu disebabkan masalah hormon luar biasa dan semakin ketara sejak dia berusia belasan tahun walaupun mengamalkan pemakanan sihat.

“Walaupun saya hanya makan menu biasa seperti nasi bersama sayur dan ikan sekali sehari, selain roti atau biskut dalam jumlah yang sedikit, berat badan semakin bertambah,” katanya.

Katanya, sebelum ini doktor pernah menasihatkannya menjalani pembedahan tetapi dia tidak mampu kerana hanya bergantung kepada pencen yang diperoleh neneknya.

Katanya, pakar pemakanan juga menasihatkannya supaya minum susu berkhasiat dan hanya makan buah bagi mengawal berat badan tetapi dia tidak mampu kerana kos yang agak tinggal.

Beliau bersyukur kerana ibu saudaranya, Roslina sanggup berulang dari rumahnya di Paya Pulai membantu menjalankan kerja rumah setiap hari berikutan neneknya juga tidak sihat akibat masalah urat saraf di tangan.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 9:20pm
d