mutakhir

'Jho Low hidup macam tikus'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low, kini hidup dalam persembunyian seperti tikus.

Selain Malaysia, Perdana Menteri berkata, Jho Low turut dikehendaki di seluruh dunia.

“Jho Low sebelum ini hidup mewah belayar dengan kapal Equanimity ke sana sini tetapi kini hidup bersembunyi tidak ubah seperti tikus,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir mengulas mengenai tindakan undang-undang terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) ke atas ahli perniagaan kontroversi itu.

Beliau berkata, Jho Low turut berdepan beberapa tuduhan di Malaysia.

“Memang kita mahu dapat Jho Low dulu tetapi sebenarnya tidak kisah siapa yang akan dapat dia dulu.

“Jika AS dapat dulu, kita tetap akan dapat akses kepadanya,” katanya

Selain Jho Low, bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Lessner, turut dituduh di mahkamah di New York kerana terbabit tuduhan jenayah membabitkan 1MDB.

Sementara itu, bekas pegawai Goldman Sachs, Ng Chong Hwa, 51, atau lebih dikenali sebagai Roger Ng juga akan diekstradisi ke AS dalam tempoh masa terdekat.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 9:38pm
d