mutakhir

Sasar RM25 juta zakat dikutip online [METROTV]

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan perolehan zakat sebanyak RM25 juta menerusi laman web www.zakat2u.com.my menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, sasaran itu meningkat berbanding perolehan zakat akhir tahun lalu mencecah RM21 juta di portal sama.

Beliau berkata, perkhidmatan online perkara sangat penting dan jika tak ambil peduli era kemajuan digital, kita akan tertinggal kerana menjelang 2020, 14.6 peratus perbelanjaan runcit di seluruh dunia dibuat melalui e-commerce.

“Dalam kalangan pengguna Internet pula, 40 peratus membeli secara online dan jumlah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami cuba ubah pembayar zakat melalui dua cara iaitu pemotongan gaji atau pembayaran zakat secara dalam talian atau online.

“Sehingga Oktober lalu MAIWP sudah memperoleh sebanyak RM13.1 juta dan kami mensasarkan seramai 25,000 pembayar akan menunaikan sebanyak RM25 juta zakat sepanjang 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Zakat2u 4.0 di Wisma PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan CEO PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman.

Beliau berkata, pihaknya yakin dapat memperoleh jumlah berkenaan selepas menaiktaraf portal berkenaan yang turut memperkenalkan aplikasi Ustaz Amil di peti perbualan Facebook Messenger.

“Antara kelebihan terkini disediakan menerusi portal ini adalah pengiraan zakat secara automatik yang lebih ringkas, melakukan pembayaran lebih dari satu jenis zakat dalam satu masa sama dengan penggunaan Troli Zakat.

“Penggunaan resit rasmi bayaran online sepenuhnya, bacaan doa untuk pembayar zakat atau muzakki, integrasi pembayaran zakat menggunakan peti perbualan (chatbox) Facebook Messenger dan video tutorial panduan pengiraan zakat,” katanya.

Beliau berkata, sistem pembayaran zakat secara online berkenaan sudah diperkenalkan sejak 2011 dan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa seiring dengan moto pihaknya, ‘PPZ-MAIWP Memudahkan Anda Berzakat’.

Katanya, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian zakat 1300885757.

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 10:48pm
d