mutakhir

Ajal rumah terbakar

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

LELAKI maut dalam kebakaran di rumah sewanya di Perumahan Pandan Indah, Kuantan, 10.30 malam tadi.

Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.12 malam sebelum tiba ke lokasi kejadian.

“Ketika ditemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tertutup dengan bantal. Siasatan kebakaran oleh Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang sedang diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.

“Mayat sudah diserahkan kepada bahagian Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesah kejadian berkenaan dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian mangsa yang dikenal pasti sebagai Muhamad Shuhari, 30-an.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyedari rumah mangsa terbakar sebelum terdengar bunyi riuh jiran tetangga di kawasan perumahan terbabit.

“Ketika kejadian, saya sedang tidurkan anak di dalam bilik dan tidak sedar rumah sebelah sedang terbakar,” katanya menambah beberapa jiran berusaha memadam kebakaran yang dikatakan bermula daripada bilik tidur utama menggunakan pili air di rumah mangsa sementara menunggu bomba tiba.

“Sebaik bomba tiba dan melakukan kerja pemadaman api, baharu kami dimaklumkan ada mangsa di dalam bilik tidur utama dan disahkan sudah meninggal dunia.

“Saya hanya mengenalinya sebagai Muhamad Shuhari, kami tidak rapat,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini, hari ini.

Katanya, mangsa menyewa bersama seorang lagi rakannya sejak tiga tahun lalu dan ketika kejadian rakannya tiada di rumah.

Difahamkan mangsa adalah kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang dan kejadian turut dimaklumkan kepada keluarganya.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 11:00am
d