mutakhir

Enam cedera bas ekspres langgar treler

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LIMA penumpang dan seorang pemandu bas cedera selepas bas ekspres dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler dalam kejadian di KM27.4 Lebuhraya PLUS dari Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Duta, 2.55 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu bas ekspres itu melanggar belakang treler yang membawa muatan simen ketika berada di lorong paling kiri.

Katanya, ketika itu bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu bas, Abdullah Bakar, yang berusia 53 tahun mengalami patah bahu dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala lima daripada 18 penumpang bas ekspres berkenaan mengalami kecederaan yang pelbagai dan di hantar ke HSB, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang (HS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Zulkefly, penumpang bas yang cedera membabitkan tiga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Nur Aneesa Syazmira Sayuti, 18, mengalami patah kaki kanan dan dibawa ke HSB, Mohamad Fahmi Hakim Azhar, 22, cedera di bahagian muka serta mengalami keretakan pada bahagian jari, dirawat di HS dan Robiatun Adawiyaj Safri, 26, dirawat di HKL kerana cedera di bahagian muka.

Katanya, dua penumpang lain yang turut cedera adalah suri rumah, Nurshamsabiha Jam, 61, mengalami keretakan pada lutut kanan dan pekerja swasta, Tan Sih Yong, 48, mengalami luka di bahagian muka, masing-masing dirawat di HKL.

“Ketika kemalangan berlaku, keadaan jalan serta cuaca berada dalam keadaan baik dan laluan berkenaan juga turut diterangi lampu.

“Kemalangan tidak membabitkan sebarang kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 11:33am
d