mutakhir

'Tak tiru kerajaan dulu' - PM

Oleh Khairul Azran Hussin dan Siraj Mohd Zaini

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan pembangkang bahawa Belanjawan 2019 yang dibentangkan meniru perkara yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, pembangkang boleh berkata apa sahaja, tetapi kerajaan hari ini akan memastikan negara tidak akan dibebani hutang yang banyak.

“Mereka boleh kata apa sahaja sebab tiada kuasa.

“Kita tidak mahu negara hutang berbilion-bilion ringgit,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif (WALK) di Oval Lawn Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, Belanjawan 2019 tiada kelainan berbanding bajet yang dibentangkan sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan Belanjawan 2019 tidak ada kejutan apatah lagi keajaiban serta inisiatif kepada rakyat.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, kerajaan lebih menyentuh perkara yang tidak membawa ‘keajaiban besar’ untuk manfaat rakyat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa pembentangan Belanjawan 2019 meminggirkan negeri di Pantai Timur, Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak benar.

“Kita ada program khusus (untuk negeri di Pantai Timur),” katanya.

Ketika mengulas Belanjawan 2019, Tuan Ibrahim meluahkan kekecewaan apabila Kerajaan Persekutuan langsung tidak menyentuh aspek pembangunan wilayah khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikuasai pembangkang.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 1:43pm
d