mutakhir

9 suspek samun pemandu Grab dicekup

Oleh Faris Fuad

POLIS menahan lapan lelaki dan seorang remaja perempuan menerusi dua serbuan berasingan, kelmarin kerana dipercayai terbabit dengan kes samun seorang pemandu Grab pada 20 September lalu.

Dalam kejadian pada 3.50 pagi di Taman Bakti, Ampang, mangsa kerugian barangan peribadi, dokumen dan sejumlah wang tunai selepas disamun serta diugut menggunakan pisau oleh penumpang Grab yang juga seorang daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata, pihaknya menangkap

enam lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 15 hingga 43 tahun di kawasan Batu Caves, Gombak, pada 2.30 pagi.

"Menerusi tangkapan itu, kita merampas beberapa barangan berkaitan kes.

"Berdasarkan maklumat kes sama, polis berjaya tangkap dua lagi suspek yang terbabit dengan kejadian itu dan merampas beberapa barang kes di kawasan ibu negara menerusi serbuan kedua.

"Kita percaya sembilan suspek ditahan melakukan kegiatan samun pemandu Grab di sekitar Ampang (empat kes), Selayang (satu kes) dan Chow Kit (satu kes)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 7 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 4:39pm
d