mutakhir

'Syarat pertama mestilah B40' - PDAM

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KEUTAMAAN pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter hanya akan diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan bukannya diukur mengikut kapasiti enjin semata-mata.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata, itu adalah ketetapan yang dibincangkan pihak berkuasa dan penggerak industri lain dalam beberapa mesyuarat mereka sebelum ini.

"Syarat pertama penerima subsidi mestilah B40, kedua barulah kapasiti enjin kenderaan tapi kalau orang itu boleh pakai kereta Audi di bawah 1,500cc pun tentulah dia sudah terkeluar daripada kumpulan B40.

"Jadi dia sudah tidak layak tetapi yang menentukan layak atau tidak ini adalah pihak berkuasa berkenaan dan bukannya tugas pengusaha stesen minyak. Kami hanya melaksanakan apa yang diputuskan kerajaan," katanya ketika dihubungi NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membacakanBelanjawan 2019 di Dewan Rakyat mengumumkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc dan motosikal berkapsaiti enjin 125cc akan menikmati RON95 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.

Ia membabitkan peruntukan RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.

Keputusan itu mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat apabila kebanyakan merekamenyifatkan mekanisme itu tidak adil kerana subsidi itu turut akan dinikmati pemilik kenderaan mewah bernilai ratusan ribu ringgit berbanding kenderaan tempatan digunakan kumpulan B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini turut menjelaskan kerajaan akan mengambil kira pendapatan pemilik, usia dan kuasa kuda kereta dalam menentukan kelayakan pemberian subsidi petrol itu bermula suku kedua tahun hadapan.

Pihaknya turut akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Kewangan pada 8 November ini bagi mencari formula terbaik untuk pelaksanaan subsidi ini.

Mengulas lanjut Khairul Annuar berkata, orang ramai tidak perlu panik mengenai kaedah pelaksanaan kerana ia akhirnya akan memberi keutamaan kepada golongan miskin dan sederhana dan bukannya pemilik kenderaan mewah import seperti yang ditularkan di media sosial.

"PDAM yakin kerajaan akan memperhalusi kaedah pelaksanaan sedalam-dalamnya supaya subsidi ini tidak disalahgunakan dan sampai pada kumpulan sasar.

"Kami juga berharap tuntutan rebat daripada subsidi yang diberikan itu dapat dikembalikan kepada pengusaha stesen pada hari yang sama untuk kegunaan modal pusingan.

"Jika tidak, mungkin ada pengusaha stesen minyak yang tidak mempunyai kewangan kukuh terpaksa 'gulung tikar' kerana ketiadaan modal pusingan," katanya sambil berharap PDAM dijemput dalam pertemuan bersama Kementerian Kewangan 8 November ini.

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 5:51pm
d