mutakhir

PDAM cadang guna kad elektronik [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PENGGUNAAN kad elektronik mengandungi jumlah RM30 untuk kereta dan RM12 untuk motosikal adalah antara cadangan dikemukakan ahli Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) untuk digunapakai bagi melaksanakan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter seperti diumumkan kerajaan semalam.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, kaedah sama seperti kad e-Nelayan yang pernah digunakan untuk membeli diesel pada harga subsidi itu dilihat lebih mudah, praktikal dan tidak membabitkan kos yang tinggi kepada pengusaha stesen minyak untuk segera dilaksanakan.

"Maknanya, kerajaan akan keluarkan kad khas berkenaan kepada pemilik kenderaan yang benar-benar layak dan hanya boleh digunakan untuk mengisi minyak petrol RON95 sehingga kuota subsidi 100 liter itu habis digunakan.

"Selepas habis kuota kad itu, mereka perlu membayar harga penuh minyak mengikut pasaran semasa seperti RM2.20 seliter ketika ini. Cara itu lebih mudah kerana tidak memerlukan penetapan harga di pam minyak yang memerlukan proses lebih rumit.

"Ini antara cadangan yang diberikan ahli dan mungkin boleh dikemukakan pada kerajaan sebelum mekanisme baharu ini bermula pada suku kedua 2019," katanya ketika dihubungi NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentang Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat mengumumkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc dan motosikal berkapsaiti enjin 125cc akan menikmati subsidi30 sen seliter bagi minyak RON95.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter yang bersamaan dan 40 liter bagi motosikal. Ia membabitkan peruntukkan RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.

Mengulas lanjut Khairul Annuar berkata, PDAM yang mempunyai lebih 3,000 ahli mewakili kira-kira 3,400 stesen minyak seluruh Malaysia tidak mahu dilantik sebagai pihak untuk menentukan kesahihan kad elektronik berkenaan.

"Kita hanya uruskan proses penggunaan kad dan bukannya membelek kad untuk semak ia sahih atau tidak kerana itu tugas pihak berkuasa. Kita tidak akan kejar, halang atau halau pengguna kad sekiranya kad itu boleh digunakan dan masih mempunyai kuota subsidi 30 sen seliter

"Pemegang kad itu layak atau tidak itu adalah tugas pihak berkuasa dan kami hanya melaksanakan apa yang diputuskan kerajaan," katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak panik mengenai kaedah pelaksanaan subsidi berkenaan kerana pastinya akan memberi keutamaan kepada golongan miskin dan sederhana dan bukannya pemilik kenderaan mewah import seperti yang ditularkan di media sosial.

"PDAM yakin kerajaan akan memperhalusi kaedah pelaksanaan sedalam-dalamnya supaya subsidi ini tidak disalahgunakan dan sampai pada kumpulan sasar.

"Kami juga berharap apa sahaja kaedah pelaksaan subsidi ini akan memberi situasi menang-menang kepada semua pihak," katanya sambil berharap PDAM dijemput dalam pertemuan bersama Kementerian Kewangan 8 November ini.

Lagi berita berkaitan Belanjawan 2019

Disiarkan pada: November 3, 2018 @ 6:26pm
d