mutakhir

64 keluarga terkandas [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

LALUAN dari Kampung Seri Bayas, Permaisuri ke bandar ditutup daripada sebarang lalu lintas, semalam.

Malah, 64 keluarga di kampung itu dan sekitarnya terpaksa mendapatkan bantuan pasukan penyelamat untuk keluar ke bandar ini bagi membeli keperluan harian mereka.

Difahamkan, sejak 3 pagi jambatan di kawasan itu ditenggelami air sedalam dua meter selepas hujan sejak petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba Setiu, Penolong Penguasa Mustafa Ismail berkata, lima anggotanya bersama aset antaranya, bot, lori dan pacuan empat roda dikerah ke kampung itu untuk membantu penduduk.

“Berdasarkan maklumat, perkampungan itu menempatkan 64 keluarga yang terkandas apabila kediaman mereka terputus hubungan kerana jambatan yang jadi laluan utama ke bandar ditenggelami air.

“Bagaimanapun, tinjauan dibuat menunjukkan keadaan terkawal dan tiada keperluan untuk memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, jalan utama di Kampung Besut turut ditutup daripada kenderaan ringan.

Mustafa berkata, cuaca yang semakin baik membantu air surut, namun pihaknya tetap melakukan pemantauan berkala.

“Kita juga buat pemantauan di beberapa lokasi lain sekitar daerah ini yang berisiko banjir, untuk memudahkan tindakan diambil,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 12:27am
d