mutakhir

Jho Low tiada di China

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Kerajaan mengesahkan bahawa ahli perniagaan diburu, Low Jho Teck atau dikenali sebagai Jho Low tidak berada di China.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, beliau dimaklumkan Kedutaan China bahawa Jho Low tiada di negara itu melainkan ahli perniagaan itu menggunakan nama lain pada pasport berlainan.

“Saya dah bercakap dengan Kedutaan China dan mereka memaklumkan bahawa Jho Low tiada di negara itu.

“Melainkan dia menggunakan nama lain pada pasport yang berbeza. Tapi berdasarkan rekod negara itu, tiada individu bernama Jho Low di China,” katanya selepas menghadiri Taklimat Belanjawan 2019 Bersama Menteri dan Timbalan Menteri di Bangunan Parlimen, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Jho Low umpama bersembunyi seperti tikus selepas menjadi buruan pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Kehakiman (DoJ) AS pada kenyataan Khamis lalu berkata, Jho Low dan seorang lagi, Roger Ng didakwa di Mahkamah Persekutuan di timur New York kerana berkonspirasi mencuri jutaan wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas DoJ, Jho Low dan Roger Ng didakwa melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dengan membayar kepada ‘orang ketiga’ dalam kerajaan Malaysia dan Abu Dhabi.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 2:14am
d