mutakhir

Lintasan maut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Terperosok dan tersepit di bawah lori. Itu nasib malang dialami seorang wanita warga emas sejurus dirempuh kenderaan berat itu.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 70-an bersama rakannya yang juga wanita warga emas melintas jalan berhampiran Jalan Raja Laut di sini, jam 12.15 tengah hari semalam.

Nahas menyebabkan mangsa yang tersepit maut serta-merta manakala seorang lagi cedera parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari.

“Seramai 23 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP KLCC dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati seorang daripada mangsa tersepit di bawah lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nordin berkata, pihaknya menggunakan alatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan tubuh mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang lagi mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 3:24am
d