mutakhir

'Awat hang jadi lagu tu...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI bertindak mengugut untuk mencederakan bapanya ketika berlaku pertengkaran di rumah mereka di Kampung Paya Kubang Lembu, di Jitra, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu, mangsa berusia 61 tahun sedang tidur sebelum terdengar anaknya yang berusia 34 tahun itu mengamuk dan membaling sesuatu ke arah biliknya.

Suspek ketika itu memegang sebatang kayu sambil mengugut bapanya dan keluarga untuk melakukan sesuatu termasuk merosakkan barang dalam rumah berkenaan.

Berikutan itu, bapa mangsa yang bimbang dan terancam dengan ugutan suspek kemudian membuat laporan di Balai Polis Jitra.

Suspek sebelum ini pernah terbabit dengan kegiatan dadah sejak berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, berikutan laporan polis yang dibuat, sepasukan anggotanya dari Pasukan Task Force dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan tangkapan terhadap suspek di rumah itu pada jam 5.30 pagi.

“Anggota kami turut merampas sebatang kayu panjang berukuran 46.5 sentimeter untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan rekod, suspek pernah memiliki enam rekod berkaitan jenayah dan dadah, malah pernah tiga kali dihukum penjara sebelum ini,” katanya.

Mohd Ismail berkata, setakat ini, suspek mengaku menghidap dadah jenis syabu, namun pihaknya masih menunggu laporan ujian saringan awal air kencing lelaki itu.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 9:45am
d