mutakhir

'Saya reda dengan pemergiannya' [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SAYA reda dengan pemergiannya,” kata Zainuddin Wahab, 52, bapa kepada Mohd Rizal, 20, antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Semambu, dekat Kuantan, hari ini.

Pengawal keselamatan itu berkata, Mohd Rizal yang juga anak ketiga daripada lima beradik adalah anak yang ceria dan banyak cakap serta baik dengan ibu bapa.

"Selepas selesai bedah siasat, kami akan bawa jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuang, Kemaman, hari ini," katanya.

Dia ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Bercerita lanjut, Zainuddin berkata, dia mendapat tahu anaknya terbabit kemalangan itu, pada 7 pagi.

"Pagi tadi, kawan dia telefon maklum Rizal terbabit dalam kemalangan dan saya masa itu sedang bekerja tidak tahu keadaan dia.

“Apabila saya dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu hendak ke HTAA baharu saya tahu dia sudah tiada,” katanya.

Pada kejadian 6.30 itu, tiga maut apabila Perodua Myvi dinaiki lima individu terbabas ke dalam gaung.

Selain Mohd Rizal, dua lagi mangsa maut, Akira Alinnatasya Mohd Jaafar, 16; dan Nur Alya Ariana Azman, 16.

Dua lagi rakan mereka termasuk pemandu kereta itu parah dan kini dirawat di HTAA.

Berita berkaitan

Ajal tiga sahabat

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 3:17pm
d