mutakhir

Ditahan pandu kenderaan klon

Oleh Zaid Salim

KETERUJAAN dua lelaki memandu kereta mewah dibeli dengan harga murah berakhir apabila kedua-dua kereta klon itu dirampas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kenderaan model Honda Stream terbabit dirampas jabatan berkenaan dalam satu operasi diadakan di Chukai, Kemaman, Isnin lalu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, kenderaan terbabit dipandu lelaki berusia 30-an dan ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Geliga-Chukai, Chukai, pada 10 malam.

“Siasatan mendapati pemandu kedua-dua kenderaan terbabit mendakwa mereka tidak tahu kereta dibeli itu adalah kereta klon walaupun ia dijual dengan harga tidak munasabah.

“Berikutan itu, kedua-dua kenderaan terbabit disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Zulkarnain berkata, operasi diketuai Penolong Pengarah (Penguatkuatkuasa) PPk Nazrey Hamzah itu dilakukan bermula 2.30 petang hingga 12 tengah malam bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi etika keselamatan dan undang-undang jalan raya.

Menurutnya, menerusi operasi selama 10 jam itu, pihaknya mengeluarkan sebanyak 172 notis kesalahan membabitkan penggunaan topi keledar, tidak memiliki lesen memandu, lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

“Dalam operasi itu, kami mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya seperti tidak mempamer nombor pendaftaran dan cukai jalan kenderaan lain dan menggunakan kenderaan tidak didaftarkan.

“Kami akan sentiasa melakukan rondaan secara berkala dan meningkat operasi bagi memastikan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya selain menangani gejala rempit dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 5:11pm
d