mutakhir

Berhenti kerja demi anak kanser

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DEMI memastikan anak bongsunya yang disahkan menghidap kanser mata peringkat awal mendapat penjagaan rapi, Rosmawati Abdul Latif sanggup berhenti kerja biarpun menyedari perbelanjaan keluarga mereka akan terjejas.

Rosmawati, 34, berkata mata kanan Muhamad Noor Irfan Noor Mazlan, 2, atau Irfan, kini sudah tidak boleh melihat akibat kanser dan hanya bergantung pada mata kiri sahaja.

Beliau yang tinggal di Taman Medan Klebang Prima, Ipoh, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu dilahirkan normal, namun mata kanannya berubah menjadi juling ketika berusia setahun lima bulan.

“Pada mulanya kami ingat mata dia juling biasa saja dan memang bercadang nak buat terapi di hospital, namun semuanya berubah selepas berlaku pendarahan pada mata Irfan akibat tercucuk hujung payung ketika bermain dengan kakaknya pada 14 September lalu.

“Selepas rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, kami dimaklumkan masih ada pendarahan di belakang mata dan Irfan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika ditemui NSTP pada Majlis Makan Malam Kelab Pemilik Proton Perdana Malaysia (PROPERD) di Lumut, malam tadi.

Irfan antara 45 pesakit kanser, orang kurang upaya (OKU), anak asnaf dan yatim yang pernah disantuni aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh dan diraikan pada majlis itu bersama ahli keluarga mereka.

Program berkenaan dianjurkan PROPERD dengan kerjasama Rohaidatul Asma dan turut menyampaikan sumbangan wang, hamper dan peralatan sekolah kepada 45 individu berkenaan.

Rosmawati berkata, pembedahan membuang pendarahan itu dilakukan pada 24 September lalu, namun sebelum itu doktor memaklumkan anaknya itu mempunyai kanser mata di tahap awal dan jika tidak dirawat ia boleh merebak ke mata kiri.

“Dunia saya terus gelap sebaik dimaklumkan berita itu kerana pada mulanya kami ke sana hanya untuk pembedahan biasa dan tak sangka dapat berita yang lebih berat.

“Ketika itu saya hanya memikirkan bagaimana Irfan mahu bertahan dan agak sukar untuk saya terima pada mulanya, namun kuatkan semangat dengan sokongan suami (Noor Mazlan Abdul Majid, 34).

“Malah, kami fikir ada harapan untuk dia sembuh memandangkan ini baru peringkat awal dan itu doa kami setiap hari,” katanya.

Berikutan itu, beliau nekad berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan untuk menjaga Irfan walaupun mengakui ia mengakibatkan kehidupan semakin sukar kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang.

Katanya, awal bulan lalu, kisah Irfan tular di Facebook dan dia tak sangka kerana menyangka masih ada orang lain lebih memerlukan.

Sementara itu, Rohaidatul berkata, selain kerjasama PROPERD makan malam itu hasil sumbangan orang ramai dan pasukan sukarelawan yang menghulurkan bantuan melalui tabung dilancarkannya sebulan sebelum majlis dan berjaya mengumpulkan RM8,000.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PROPERD Malaysia, Datuk Zailani Ali berkata, makan malam itu antara aktiviti program Konvoi Amal dan Jalinan Kasih Lumut, Perak 2018 yang turut membabitkan aktiviti amal bertujuan mengeratkan silaturahim.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 8:47pm
d