mutakhir

Pengantin naik kereta lembu, tandu

Oleh Hassan Omar

MAJLIS perkahwinan pasangan berusia 18 tahun di Pandan Perdana, Melaka, hari ini diserikan dengan adat dan pakaian busana Melayu yang bukan sahaja dipakai pengantin, malah sebahagian besar tetamu.

Majlis perkahwinan Muhammad Amirul Asyraf Mihat dan Siti Nur Alisya Haron di Dewan Balairong Banquet, Plaza Pandan Perdana itu diserikan dengan majlis mengarak pengantin dengan menaiki kereta lembu.

Kereta berkenaan ditarik dua lembu sado dari jarak kira-kira 200 meter dari plaza berkenaan sebagai mengembalikan tradisi mengarak pengantin dalam masyarakat Melayu Melaka tradisional yang popular sekitar 1960-an hingga hujung 1980-an.

Adat mengarak pengantin itu diserikan dengan iringan paluan kompang diselang selikan dengan lagu pengantin dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sejurus selepas tiba di pekarangan plaza, mereka sekali lagi diarak, tetapi kali ini di atas tandu yang dipikul lapan kakitangan Bintang Katering, iaitu syarikat tempat Muhammad Amirul Asyraf bekerja yang dimiliki oleh abang angkatnya, Mohd Eszahar Mansor, 33.

Apabila turun dari tandu, pasangan terbabit disambut tiupan serunai dan paluan gendang kumpulan pencak silat yang mempersembahkan silat pulut, sebelum persembahan tarian asli kanak-kanak.

Muhammad Amirul Asyraf berkata, dia bersyukur kerana berjaya merealisasikan majlis dihiasi budaya tradisional masyarakat Melayu diilhamkan ahli keluarganya dengan bantuan Mohd Eszahar.

“Alhamdulillah saya bertemu jodoh pada usia muda dan isteri yang baru menamatkan persekolahan bersetuju untuk mendirikan mahligai bahagia pada usia sebegini muda.

“Kami gembira dan bangga dapat mempraktikkan adat dan budaya Melayu tradisional, terutama daripada aspek busana. Terima kasih juga kepada tetamu yang sudi mengenakan pakaian Melayu tradisional seperti tema kami cadangkan,” katanya.

Sementara itu, Mihat Ahmad, 62, berkata dia dan isteri, Robiah Abu Bakar, 59, berbesar hati menyambut tetamu dalam majlis diserikan dengan busana Melayu tradisional diadakan khusus untuk anak bongsu mereka daripada lapan adik-beradik itu.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 10:03pm
d