mutakhir

6 pelajar sesat guna 'shortcut'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TINDAKAN enam pelajar cuba menggunakan jalan pintas untuk turun dari puncak Bukit Larut di Taiping mengundang padah apabila sesat di dalam hutan itu, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Penolong Kanan Penguasa Bomba Rafeel Hairul Richard berkata, mereka berusia 15 tahun dikatakan melakukan aktiviti mendaki bukit itu jam 9 pagi.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan telefon daripada salah seorang mangsa jam 3.15 petang memaklumkan mereka tersesat selepas menggunakan laluan pintas untuk menuruni bukit itu.

“Seramai 13 anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi mengesan mangsa dan mereka ditemui pada ketinggian 800 meter dari paras laut dan kira-kira 300 meter dari jalan berturap iaitu laluan utama ke bukit peranginan itu.

“Kesemua mereka ditemui dalam keadaan lemah dan kepenatan, namun tiada sebarang kecederaan teruk dikesan.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mereka dari lokasi lalu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti punca kejadian itu tiada kaitan dengan perkara mistik, sebalikya kumpulan remaja itu mengikut jalan ‘offroad’ yang disangka jalan pintas untuk menuruni bukit itu.

Katanya, orang ramai yang melakukan aktiviti pendakian di bukit itu dinasihatkan mengikut laluan sedia ada bagi mengelakkan perkara terbabit berulang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, seramai 33 anggota penyelamat membabitkan anggota polis, bomba dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat berkenaan.

Menurutnya, lima mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing manakala seorang mangsa kini dirawat di Hospital Taiping kerana mengalami kecederaan di kaki.

Disiarkan pada: November 4, 2018 @ 10:52pm
d