mutakhir

Upin, Ipin ubat duka

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kesukaran dialami mangsa gempa bumi dan tsunami di daerah Biromaru, Sigi, Sulawesi Tengah, Indonesia sedikit terubat dengan kehadiran pasangan kartun adik-beradik popular, Upin dan Ipin yang didatangkan khas dari Malaysia.

Pada mulanya kedatangan karakter kartun yang sememangnya popular di Indonesia itu khas untuk 250 kanak-kanak di Kem Pengungsian Biromaru bagi mengubat trauma mereka, tetapi jumlah penonton lebih daripada itu apabila dihadiri kira-kira 3,000 penduduk sekitar.

Majlis itu dianjurkan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dengan kerjasama Les Copaque Production, MyCare, Bulan Sabit Merah Indonesia, Kementerian Kesihatan Indonesia dan Kabupaten Sigi, kelmarin.

Koordinator IMARET Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, kedatangan karakter Upin dan Ipin adalah kejayaan besar buat pertubuhan bukan kerajaan Malaysia itu yang membantu mangsa di Sulawesi Tengah khususnya dalam aspek rawatan trauma.

Katanya, IMARET yang menghantar lima pasukan sukarelawan sejak Sulawesi Tengah dilanda gempa bumi dan tsunami pada 28 September lalu menumpukan kepada program psikososial yang menjadi keutamaan selepas lebih sebulan insiden bencana itu berlaku.

“Kami berterima kasih kepada Les Copaque kerana merealisasikan hasrat anak-anak mangsa gempa di Sulawesi Tengah.

“Kami berharap kerjasama ini akan berterusan kerana keberadaan Upin dan Ipin akan menambah nilai program psikososial di sini. Kesannya bukan hanya kepada 3,000 yang hadir tetapi kepada lebih 200,000 mangsa terjejas.

“Selain itu, Upin dan Ipin juga simbolik kepada persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia, tiada siapa boleh menafikan kenyataan ini,” katanya.

Menurutnya, sesi psikososial bersama kanak-kanak mangsa gempa yang bertukar menjadi ‘konsert’ Upin dan Ipin berlangsung selama tiga jam dan turut dihadiri Datuk Bandar Sigi Muhammad Irwan Lapata.

Dr Ahmad Munawwar berkata, IMARET merancang memasang sistem rawatan air SafeWhere-IMARET untuk membekalkan air terawat kepada manga gempa.

Katanya, setakat ini empat lokasi terjejas dikenal pasti bagi pemasangan sistem rawatan air itu.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 10:04am
d