mutakhir

[UPDATE] Polis sedang siasat

Oleh Junaidi Ladjana

POLIS sedang merakam percakapan beberapa saksi kejadian berhubung insiden calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau, 3 November lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Keningau merakam percakapan saksi-saksi utama yang berada lokasi kejadian.

“Semalam, saya memberi arahan sekali lagi supaya dapatkan saksi-saksi utama yang berada di tempat kejadian untuk dirakam percakapan mereka supaya siasatan dapat dilakukan dengan segera.

“Ini kerana kes itu menjadi viral, sehingga semua orang tahu berkenaan kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru, Datuk Zaini Jass bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman.

Selain majlis berkenaan, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas bagi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah yang baharu, Superintendan Ahmad Jawila menggantikan Deputi Superintendan Mohd Hurriyatul Fikri Sairin Karno.

Zaini yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman manakala Ahmad sebagai Ketua Polis Daerah Keningau.

Dalam kejadian jam 4 petang pada 3 November lalu, Rafizi mendakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di dalam dewan Kampung Merampong.

Susulan kejadian itu, Rafizi membuat laporan polis berhubung kekecohan terbabit jam 5 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun sama.

Berita berkaitan

Rafizi diserang [METROTV]

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 12:42pm
d