mutakhir

6 kawasan potensi banjir kilat

Oleh BERNAMA

ENAM lokasi di daerah Kuala Pilah dikenal pasti berpotensi dilanda banjir kilat ketika musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga bulan depan, kata Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata enam lokasi terbabit ialah Kampung Sungkak, Kampung Pelangai Hilir, Kampung Kuala Jemapoh, Kampung Tanjung Jati, Kampung Seri Pilah Seberang dan Kampung Juasseh Tengah.

Katanya sebagai langkah jangka pendek, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa dan agensi terlibat untuk mengenal pasti punca masalah itu seperti longkang tersumbat dan menyelesaikannya.

Penyelesaian jangka panjang pula antaranya adalah mendalamkan Sungai Muar, katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pengendalian Bencana dan Banjir anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Pilah.

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa masalah kesihatan dihadapi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu telah menjejaskan tanggungjawabnya kepada penduduk di kawasannya.

“ADUN Pilah tetap melaksanakan tanggungjawabnya kepada penduduk di sini di mana beliau ada turun melawat kawasan yang dinaiki banjir.

“Sihat atau tidak, kita sama-samalah mendoakan kesejahteraannya dan semoga beliau kembali sihat seperti sediakala dan jangan risau kerana pejabat saya (Parlimen Kuala Pilah) akan sentiasa membantu beliau dalam menjalankan tugasnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 4:06pm
d