mutakhir

Polis buru 'Ibu Bonda'

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

POLIS kini menjejaki beberapa individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Ibu Bonda bagi melengkapkan siasatan kes Sultan Mansor Shah III, lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan lelaki mendakwa ‘Sultan Mansor Shah III’ dan beberapa individu yang terbabit dalam majlis ‘pertabalan’ itu.

“Malah, individu berusia 63 tahun itu turut membuat laporan polis di Alor Gajah, menafikan dirinya memuat naik status yang tular di laman sosial, sebaliknya mendakwa dilakukan seorang wanita yang sudah dikenal pasti iaitu Ibu Bonda.

“Dia (Ibu Bonda) dikatakan berbuat demikian selepas bermimpi, pengadu (lelaki berusia 63 tahun) adalah waris sultan. Pengadu berasakan dia digunakan individu tertentu,” katanya.

Raja Shahrom berkata demikian ketika ditemui selepas Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri baharu, Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang menggantikan Senior Asisten Komisioner Zulkifli Che Wail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, hari ini.

Katanya, polis akan meneruskan siasatan sehingga kes terbabit selesai, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Berita berkaitan

'Sultan Mansor Shah III' dipantau...

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 5:40pm
d