mutakhir

Dr M minta universiti Jepun buka kampus di Malaysia

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara itu bukan sahaja didedahkan kepada sistem pendidikan negara matahari terbit terbabit tetapi turut mempelajari budayanya.

Beliau berkata, Malaysia menghantar ramai pelajarnya ke Jepun dan mereka memberi banyak sumbangan kepada Malaysia, bagaimanapun faktor kos kini mengakibatkan agak sukar untuk menghantar lebih ramai pelajar.

“Kami berpendapat cara terbaik adalah untuk mewujudkan universiti di Malaysia. Kami telah berusaha untuk mendapatkan penubuhan kampus cawangan universiti Jepun di Malaysia. Malangnya undang-undang tidak membenarkannya.

“Seperti yang anda maklum, kami kini mempunyai kampus cawangan universiti Australia dan Amerika di Malaysia, tetapi tiada universiti Jepun,” katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan ijazah kehormat daripada University of Tsukuba di kampus universiti itu di Tokyo hari ini.

Ijazah kehormat Doktor Falsafah itu disampaikan kepada Dr Mahathir oleh presiden universiti berkenaan, Prof Kyosuke Nagata.

Perdana menteri sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Jepun, yang bermula Isnin.

Dr Mahathir berkata penubuhan universiti Jepun di Malaysia penting supaya rakyat Malaysia dapat mempelajari bukan sahaja ilmu pengetahuan, tetapi juga ciri-ciri atau sistem nilai dan etika kerja.

“Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kami menghantar ramai pelajar ke sini, dan malah bekerja di sini dalam usaha untuk mempelajari tentang etika kerja dan sistem nilai Jepun. Tanpa sistem nilai, kita tidak akan maju walaupun berpendidikan yang baik. Kami perkenalkan sistem pendidikan Jepun di Universiti Teknologi Malaysia.

“Untuk datang ke Jepun, memanglah, sebelum ini agak murah tetapi nilai Yen kini meningkat tiga kali ganda, menyebabkan kos untuk menghantar pelajar ke negara ini menjadi sangat mahal,” katanya.

Dr Mahathir berharap University of Tsukuba akan mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia dan membuka kampus cawangannya.

“Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia belajar, sebab kos akan menjadi lebih rendah. Malaysia boleh menjadi pusat bagi pelajar lain dari rantau Asia untuk datang belajar di sebuah universiti Jepun tanpa perlu pergi ke negara itu.

“Kalangan pelajar ini adalah miskin. Kos sara hidup di Jepun pula tinggi. Saya harap universiti ini kesudahannya akan membuka kampus cawangan di Malaysia, mengajar dalam bahasa Jepun, mendidik rakyat Malaysia tentang budaya Jepun,” katanya.

Beliau sentiasa berminat dengan pendidikan kerana percaya pendidikan akan membolehkan negara menjadi maju dengan lebih pantas.

“Bagaimanapun, ilmu pengetahuan sahaja tidak memadai, kita juga memerlukan tingkah laku yang baik. Sekiranya anda orang yang berilmu, tetapi mempunyai tingkah laku buruk, hasilnya mungkin buruk. Anda mungkin menggunakan pengetahuan itu dalam cara yang tidak memanfaatkan bukan sahaja kepada diri anda, bahkan juga kepada negara.

“Adalah penting apabila memperoleh ilmu pengetahuan, kita juga memperoleh tingkah laku yang betul yang memberi keputusan positif. Dan saya perhatikan, bagi Jepun, tingkah laku rakyatnya banyak menyumbang kepada kemajuan (negara berkenaan),” katanya.

Perdana menteri berkata beliau dapati sikap yang ada pada orang Jepun tidak dapat dilihat di beberapa negara lain, termasuk Malaysia.

“Saya berpendapat bahawa jika kita memberi rakyat Malaysia pendidikan yang sama, tetapi kita tidak mendidik mereka tingkah laku yang betul, sistem nilai yang betul, pengetahuan yang diperoleh tidak akan menghasilkan keputusan positif.

“Mempelajari etika kerja itu perlu. Saya berpendapat kami perlu meniru sebahagian daripada etika kerja rakyat Jepun. Ini tidak akan menjadikan rakyat Malaysia sebagai orang Jepun, sebaliknya menjadikan mereka lebih bertanggungjawab,” katanya.

Mengenai Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkannya pada 1982 dengan matlamat utama untuk mengalih tumpuan hubungan dari Barat ke arah rantau Asia, khususnya Jepun, yang semakin meningkat maju, dan membantu mendorong industrialisasi di Malaysia, Dr Mahathir berkata dasar itu bukan sahaja tentang memperoleh pengetahuan, tetapi juga tentang mempelajari sistem nilai, gaya hidup dan etika penduduk di Timur.

“Kita telah lihat banyak negara di Timur yang membangun dengan pesat, sehingga mereka berjaya mengejar negara Barat, dan produk mereka berupaya untuk bersaing. Hasilnya, banyak negara di Timur menjadi sangat kaya dan berkuasa,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 9:31pm
d