mutakhir

Tokoh Maal Hijrah Pengerusi Lembaga Pengarah USIM

Oleh BERNAMA

PENERIMA anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440H/2018M, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam kenyataan di sini, hari ini berkata lantikan Dr Siddiq itu adalah untuk menggantikan Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak yang tamat tempoh lantikannya pada 30 September lalu.

Siddiq yang juga Presiden Kolej Dar Al-Hikmah akan memegang jawatan itu bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Oktober lalu hingga 30 September 2021.

Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM), pelantikan beliau dipersetujui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Selain Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Dr Siddiq juga adalah Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) dan Profesor Adjung di Universiti Selangor (UNISEL).

Kenyataan itu turut menyebut bahawa universiti itu percaya dengan daya kepimpinan dan pengalaman luas yang dimiliki Siddiq akan mampu memacu USIM sebagai pusat rujukan global.

“Dalam masa yang sama, pihak universiti mengucapkan terima kasih kepada Dr Dzulkifli atas sumbangan dan jasanya kepada USIM sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 12:44am
d