mutakhir

Bomba Kedah beku cuti

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah membekukan cuti pegawai dan anggotanya sebagai persiapan menghadapi banjir, bermula 15 November ini.

Pemangku Pengarah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, pembekuan cuti membabitkan keseluruhan pegawai dan anggota unit operasi seramai 1,000 orang termasuk hampir 200 Pegawai Bomba Bantuan (PBB).

Beliau berkata, cuti akan dibekukan sehingga sehingga 31 Disember depan seperti yang diarahkan Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid.

“Bagaimanapun, pemberian cuti kecemasan untuk anggota dan pegawai hanya akan diberi bergantung atas budi bicara pihak kepemimpinan.

“Setakat ini, kami sudah melakukan kesiap siagaan untuk menghadapi musim tengkujuh pada penghujung tahun yang sering kali boleh mengakibatkan banjir,” katanya ketika ditemui selepas Pertandingan Inovasi JBPM di Alor Setar, hari ini.

Mohd Zahar berkata, semua aset termasuk bot, lori dan jentera sudah mencukupi di 19 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini untuk menghadapi musim tengkujuh.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 10:59am
d