mutakhir

Mayat lelaki dalam lubang tadahan air

Oleh Mohd Sabran Md Sani

DENDAM dipercayai motif utama lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tikaman dan kelar di seluruh tubuh di Ladang Kembau, Kota Tinggi, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, mayat lelaki dikenali sebagai Rizal dari Lombok ditemui dalam lubang tadahan air jam 10.25 malam.

Katanya, ia ditemui orang awam berhampiran tepi jalan masuk ke ladang itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan pasukan perubatan mendapati ada kesan tikaman di dada, perut dan lima kesan tikaman di belakang badan.

“Selain itu, terdapat kesan kelar di kening dan leher manakala jari kiri dan kanan dihiris,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak unsur dendam atau rompakan adalah motif utama pembunuhan mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 12:37pm
d