mutakhir

Kes bunuh tukang cuci, rakan lelaki selesai

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SEORANG lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan tukang cuci wanita dan rakan lelakinya di sebuah flat di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, lelaki berusia 28 tahun ditahan jam 8.30 malam kelmarin di sekitar Johor Bahru.

“Kita percaya kes selesai dan sedang mengumpulkan keterangan untuk mendapatkan bukti mencukupi bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Penahanan suspek terbaharu, lelaki berusia 28 tahun itu menjadikan jumlah individu ditahan sehingga kini seramai empat orang,” katanya mengesahkan tangkapan terbaru itu.

Katanya, tidak semua individu yang ditahan adalah suspek, sebaliknya ada yang ditahan bagi mendapatkan keterangan.

Dalam kejadian Khamis lalu, ibu tunggal K Kamala, 51, ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala manakala rakan lelakinya S Silvaraja, 59, ditemui mati dengan kesan kelar di leher.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui jam 9 pagi oleh anak perempuan Kamala yang baru pulang dari tempat kerjanya di Singapura.

Difahamkan, Kamala bekerja sebagai pekerja pembersihan dan tinggal di flat berkenaan bersama anak perempuannya berusia 31 tahun itu.

Sementara, Silvaraja menumpang di rumah berkenaan.

Susulan kejadian itu, polis mengesahkan menahan tiga suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan kedua-dua mangsa pada malam hari yang sama mayat ditemui.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh

Suspek kes bunuh ibu tunggal, rakan lelaki, ditahan

Menggigil terima panggilan....

Ibu tunggal, lelaki mati ditetak [METROTV]

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 1:33pm
d