mutakhir

Angkara si 'gatal tangan'

Oleh Faliq Lajim

TINDAKAN segelintir penduduk menceroboh dan merosakkan ban sedia ada dipercayai menjadi punca paras air naik di Jalan Benteng dan Jalan Kenangan di Klang, hari ini.

Difahamkan, mereka yang ‘gatal tangan’ itu sengaja mengorek tanah di ban berkenaan tanpa diketahui punca dan tujuan berbuat demikian.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, keadaan itu turut diburukkan lagi dengan hujan lebat sehingga air pasang mencatatkan paras tertinggi iaitu 5.3 meter pada 4.53 pagi.

“Kejadian itu menyebabkan air Sungai Kapar melimpah di beberapa kawasan berdekatan sehingga dinaiki air pada paras satu meter.

“Setakat ini, tiada arahan pemindahan dibuat dan penduduk yang terjejas hanya keluar dari rumah untuk menunggu air surut.

“Paras air pasang akan mencecah 5.4 meter pada 5.35 pagi esok, manakala ia dijangka setinggi lima meter pada 5.59 petang,” katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kejadian.

Kata Samsol Maarif, pihaknya bersama beberapa agensi lain akan terus menjalankan pemantauan di lokasi kejadian dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penceroboh ban sungai berkenaan.

“Menceroboh ban adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan ia mengakibatkan penduduk lain yang menerima kesan buruk dengan tindakan berkenaan.

“Ban dibuat bagi menahan air melimpah dan hujan lebat serta fenomena air pasang akan memburukkan lagi keadaan jika ia rosak,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang terjejas supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Difahamkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor juga sedang menggali muara Sungai Kapar Besar dan menambah kapasiti pam di pintu air sekali gus meninggikan semula ban di situ.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 3:10pm
d