mutakhir

Panik sungguh...

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

BAPA cemas apabila bayi lelakinya berusia setahun terkunci dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang membuat pendaftaran di sebuah klinik di Tangga Batu, Melaka, pagi semalam.

Difahamkan, bapa kepada bayi berkenaan cuba membuka MPV Nissan Grand Livina, namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba pada 11 pagi.

Bagaimanapun, bayi terbabit berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu yang mengumpil pengunci kereta menggunakan alat khas.

Komander Operasi BBP Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nyat berkata, sepasukan empat anggota bomba dikerah ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan pada 11.05 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian, bapa bayi berusia 40 -an itu sedang membuat pendaftaran di klinik sementara dua anaknya berusia 10 tahun dan satu tahun di dalam kereta dalam keadaan enjin masih hidup.

“Bagaimanapun, anaknya berusia 10 tahun keluar meninggalkan kereta manakala bayi pula sedang tidur di tempat duduk belakang dan secara tiba-tiba pintu kereta itu terkunci.

“Kami menjalankan operasi bermula 11.09 pagi dan berjaya menyelamatkan bayi terbabit dalam tempoh dua minit dengan mengumpil kunci menggunakan cangkuk besi,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 4:21pm
d