mutakhir

Tahan 994 individu, rampas 15kg dadah

Oleh Hamzah Osman

POLIS menahan 994 individu dan merampas lebih 15 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah di sekitar Langkawi dalam tempoh 10 bulan pertama, tahun ini.

Daripada jumlah itu, 134 orang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semua tangkapan dilakukan di kawasan pengedaran dadah jalanan.

Beliau berkata, tangkapan tertinggi adalah Seksyen 12(2) ADB 1952 iaitu seramai 418 orang, diikuti 152 dan 136 orang masing-masing Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) bawah akta sama.

“Seramai 70 ditahan mengikut Seksyen 39A(2), manakala Seksyen 6 ADB 1952 seramai 11 orang, selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, 57 orang serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 seramai 16 orang.

“Operasi polis di pulau ini lebih menumpukan kepada usaha memutuskan jaringan antara pengedar kecil-kecilan dan penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 bulan itu, jumlah dadah dirampas adalah heroin seberat 14.4kg, syabu (0.547kg) dan ganja (0.701kg).

Sementara itu, Arjunaidi berkata, pihaknya turut menahan 131 individu berusia di antara 19 dan 56 tahun dalam Ops Sarang selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Katanya, dalam operasi disertai 19 pegawai dan 98 anggota polis itu, dua pengedar dadah lelaki warga tempatan turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

“Semua suspek kini ditahan reman selama 14 hari di lokap IPD Langkawi untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 6:03pm
d