mutakhir

Bila peniaga asing tunjuk biadap...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BERANG apabila barang jualan disita, seorang lelaki warga Myanmar ‘menyerang’ anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penyembur lada di Pasar Borong Selayang, semalam.

Tindakan peniaga berusia 32 tahun itu menyebabkan empat anggota penguat kuasa yang sedang menulis barang sitaan berkenaan cedera di bahagian mata akibat disembur dengan serbuk lada.

Pengarah Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, pihaknya melakukan pemeriksan jam 11 pagi mendapati sekumpulan peniaga warga asing menjual sayuran di luar pasar borong berkenaan.

“Ketika pegawai dan anggota penguat kuasa membuat sitaan terhadap barang jualan kerana berniaga tanpa lesen, beberapa peniaga warga Myanmar terbabit membuat provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat.

“Malah, mereka (peniaga warga Myanmar) turut mengambil gambar petugas DBKL sebelum diarahkan untuk memadam gambar berkenaan. Ketika itu, berlaku pertengkaran akibat provokasi itu, namun situasi berjaya dikawal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, ketika anggota penguat kuasa sedang menulis barang sitaan dalam kabin di pasar borong berkenaan, mereka dihampiri lelaki terbabit yang menyerang menggunakan penyembur lada.

“Berlaku pergelutan di antara mereka, namun lelaki (peniaga) itu berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.

“Kejadian itu menyebabkan keempat-empat anggota penguat kuasa DBKL yang cedera di bahagian mata dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kira-kira jam 6 petang (semalam),” katanya.

Dalam pemeriksaan sama, DBKL turut menyita lebih 20 kenderaan digunakan peniaga warga Myanmar untuk berniaga di luar pasar borong berkenaan.

“Semakan mendapati lima daripada kenderaan yang dirampas itu disyaki kenderaan curi. Kami turut merampas sayur-sayuran yang dijual warga asing terbabit yang didapati berniaga tanpa lesen.

“Difahamkan mereka mendapat bekalan sayuran dari pembekal di Cameron Highland, Pahang. Mereka didapati kerap menjual sayur di pasar borong terbabit meskipun tanpa lesen,” katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala bagi menangani kegiatan warga asing yang berniaga tanpa lesen di pasar borong itu.

“Dalam usaha memastikan warga asing tidak ‘bermaharajalela’ di kawasan ini, kami akan melakukan pemeriksaan berkala supaya kegiatan itu dapat dibanteras,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 6:24pm
d