mutakhir

Ajal budak dalam parit

Oleh Nor Amalina Alias

KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun mati lemas selepas terjatuh dalam parit di Kampung Limau Nipis, Melawi, di Bachok hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi mangsa, Nurhasnita Saupi ditemui sejam selepas dilaporkan terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.57 petang dan menemui mangsa kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, mayat kanak-kanak itu ditemui terapung oleh anggota bomba yang melakukan operasi pencarian. “Difahamkan mangsa bermain di kawasan air dan dipercayai terjatuh di dalam parit berhampiran rumahnya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 9:04pm
d