mutakhir

Korang nak lari mana?

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TUJUH penghuni perempuan asrama akhlak di Jitra, bertindak meloloskan diri melalui siling bumbung asrama berkenaan, semalam.

Kejadian pada 1.17 pagi itu disedari warden asrama yang menerima aduan dari penghuni lain memaklumkan tujuh penghuni yang kesemuanya berusia 16 tahun melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, empat daripada mereka berjaya ditahan semula semalam, dan usaha mencari tiga lagi penghuni masih dilakukan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, penghuni bertindak memecahkan siling asrama berkenaan dan melarikan diri melalui laluan bumbung.

“Sebelum itu, warden asrama sudah melakukan rondaan pada 1 pagi, namun ketika itu keadaan terkawal dan mendapati semua penghuni sedang tidur.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kerosakan pada pagar asrama berkenaan yang disyaki menjadi laluan mereka melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, pihak pengurusan asrama akhlak berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Jitra pada 9 pagi semalam, berhubung kejadian itu.

“Setakat ini usaha masih dilakukan bagi mengesan tiga lagi penghuni perempuan berasal dari Langkawi dan Pokok Sena, Kedah serta Pantai Remis, Perak masih dilakukan.

“Orang ramai yang melihat remaja perempuan dalam keadaan mencurigakan sekitar daerah ini diharap dapat memaklumkan pihak polis dengan segera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 10:33am
d