mutakhir

Guna kad pintar salur ESH

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN bercadang menggunakan Kad Pintar Khas bagi menyalurkan Elaun Sara Hidup (ESH), yang sebelum ini dibayar secara tunai, mulai tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementerian sedang memperincikan butiran Kad Pintar berkenaan sebelum dilaksanakan tahun depan.

Katanya, pelaksanaan Kad Pintar Khas ESH itu sebagai langkah menyalurkan insentif secara bersasar kepada nelayan sekaligus dapat digunakan dengan berhemah.

“Kalau dulu (ESH) tunai, sekarang kita perbaiki mungkin kupon, mungkin Kad Pintar dan akan pastikan ia sampai kepada sasaran, mulai tahun depan.

“Kalau dulu RM300 sebulan setiap musim tengkujuh kita bagi duit tetapi selepas ini kita mahu insentif diberi digunakan dengan betul untuk membeli barang keperluan keluarga.

“Jadi pendekatan kita menerusi Kad Pintar ini diharap sampai ke sasar kerana tidak mahu nelayan gunakan insentif untuk perkara tidak perlu, selain memastikan tiada ketirisan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Nasional di Pejabat Pertanian Batu Pahat, di Batu Pahat, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Salehhuddin Hassan.

Sebelum ini, beberapa persatuan nelayan mahu kerajaan memberi penjelasan sama ada segala bentuk bantuan kepada golongan itu terutama ESH akan diteruskan atau dihentikan, berikutan ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat lalu.

Sementara itu, Salahhuddin berkata, proses pemutihan nelayan juga sedang berjalan.

“Proses pemutihan nelayan mesti dilakukan dengan tepat. Bila buat pemutihan kita dapati angka (nelayan) mungkin berlaku kesilapan dan kita akan perbaiki.

“Setakat ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah mengesahkan lebih 40,000 nelayan berdaftar tulen mengikut kriteria ditetapkan, ” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 2:06pm
d