mutakhir

'Latih berniaga, bukan mangsa sindiket' [METROTV]

Oleh Syanty Octavia Amry

GAMBAR tular sekumpulan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang menjual kerepek di Bangi Gateway, Bangi, bukanlah membabitkan sindiket yang mengarahkan mereka untuk berniaga.

Sebaliknya, ia adalah inisiatif Persatuan Insan Istimewa Bangi (Insan Bangi) dalam membantu kanak-kanak istimewa itu memulakan kehidupan selepas tamat persekolahan.

Pengerusi Insan Bangi, Shahnun Ahmad berkata, dia tidak menafikan selepas gambar berkenaan tular, ada segelintir pihak memberikan komen negatif dan beranggapan kanak-kanak berkenaan dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin jelaskan bahawa gambar tular itu memang anak-anak istimewa Insan Bangi. Apa yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada program kami anjurkan untuk mereka.

“Sebenarnya program ini sudah diadakan sejak 2000 lagi dan kami mendapat kerjasama daripada Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Kajang.

“Namun, bermula Julai tahun lalu kami mula bergiat aktif secara komersial dan sasaran dibantu adalah pelajar istimewa tamat sekolah berusia antara 19 hingga 31 tahun,” katanya.

Beliau berkata, ibu dan bapa OKU berkenaan turut bersama-sama di lokasi jualan untuk melihat perkembangan anak mereka ketika ‘sedang bekerja’.

Menurutnya, dia mahu mengubah pandangan masyarakat yang beranggapan golongan OKU tidak boleh melakukan apa-apa.

“Ada sesetengah golongan OKU bersifat sama seperti orang biasa dan dengan cara berniaga ini, dapat memberi peluang kepada mereka berdepan dengan orang ramai.

“Selain itu, dengan menjual secara langsung ia dapat mengajar mereka untuk lebih berdikari dan mengembalikan keyakinan diri di samping belajar mengurus kewangan,” katanya.

Selain belajar berniaga secara langsung, beliau berkata, Insan Bangi dalam proses mengadakan pelbagai aktiviti tambahan lain khusus buat golongan OKU.

“Buat masa sekarang mereka akan berjualan tiga kali seminggu dan bagi pelajar masih bersekolah mereka akan berjualan seminggu sekali selepas persekolahan.

“Menerusi program dianjurkan ini, kami dapat menilai tahap kemahiran masing-masing apabila tempoh percubaan diberikan selama tiga bulan.

“Bagi yang berjaya, selepas tempoh itu mereka ditawarkan pekerjaan dalam pelbagai bidang dirasakan sesuai. Buat masa ini, kami melihat golongan OKU yang menyertai program ini semua gembira dan berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan daripada segi dana dan berkhidmat sebagai sukarelawan.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 3:58pm
d