mutakhir

'Pelajar Melayu pun diberi Bible' - Mujahid

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan kitab Bible yang diedarkan di hadapan sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini turut diberikan kepada pelajar Melayu.

Mujahid berkata, selepas kegiatan berkenaan tular, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

“Saya akui kegiatan mengedar kitab Bible oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlaku dan sekarang timbul persoalan kitab berkenaan diedarkan kepada siapa, adakah untuk orang Melayu atau hanya diedarkan kepada orang bukan Islam.

“Perkara berkenaan jelas menimbulkan kontroversi sebab daripada maklumat yang kita dapat ada juga yang diberikan kepada orang Melayu,” katanya ketika menjawab soalan peserta pada program Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di Putrajaya hari ini yang bertanyakan isu edaran kitab Bible berkenaan.

Semalam, Mujahid pada sidang medianya di Pulau Pinang mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sekolah menengah di Bukit Mertajam, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut berhubung isu berkenaan, beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan difahamkan polis akan mengambil keterangan pelajar dan pengetua sekolah terbabit hari ini.

“Saya difahamkan ada pelajar Islam dan bukan Islam yang keluar daripada sekolah terbabit, mungkin pengedar kitab Bible tersalah bagi kerana menyangka pelajar terbabit bukan Islam. Perkara itu yang saya katakan ia bukan tindakan bijak untuk berbuat demikian,” katanya.

Berita berkaitan

Ingatkan kamus, rupanya Bible

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 4:12pm
d