mutakhir

Kejar sampai ke rumah pencuri

Oleh Adnan Ibrahim

TINDAKAN peragut yang pulang dan bersembunyi di rumahnya ketika dikejar polis membawa padah apabila bukan saja ditahan malah membantu polis mengenal pasti kediamannya dalam kejadian 8.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pada 3 November lalu pihaknya menerima satu laporan daripada wanita berusia 53 tahun yang mendakwa diragut pada 7.30 pagi di Jalan Serai, Taman Seri Tengah.

“Mangsa mendakwa ketika kejadian beg tangannya diletak di dalam raga namun diragut lelaki tidak dikenali. Mangsa cuba mengejar suspek namun tidak berjaya.

“Bertindak atas laporan polis itu, pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) melakukan rondaan di Taman Orkid sebelum terserempak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Melihat suspek cuba melarikan diri, anggota RCJ mengejar lelaki itu hingga ke rumahnya sebelum menahan suspek berhampiran rumahnya di taman perumahan sama,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek lelaki berusia 36 tahun itu ada satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan lima kes ragut di sekitar bandar Kluang.

Katanya, selain menahan suspek polis turut merampas motosikal Modenas Kriss, satu topi keledar SGV dan beg mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan buku bank dipercayai milik mangsa serta serangkai kunci.

“Kami akan mendapatkan perintah reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 7:47pm
d