mutakhir

Empat nelayan diserahkan kepada Indonesia

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

EMPAT nelayan warga Indonesia yang diselamatkan selepas bot dinaiki karam dan terkandas di Pulau Jarak di sini, Isnin lalu, diserahkan kepada wakil kedutaan negara berkenaan, hari ini.

Majlis penyerahan empat nelayan yang dikenali sebagai Ariffin, 34; Sulaiman, 38; Bangkit, 38; dan Baharuddin, 38, dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang diwakili Pegawai Pemerintah Kapal Maritim Marlin, Leftenan Komander Maritim Mohd Fahimi Omar.

Mereka diserahkan kepada wakil kedutaan Indonesia, Shabda Tian dan Gustav Wahyudi di Pejabat Maritim Perak di Lumut.

Maritim Malaysia Perak dalam kenyataan berkata, bot nelayan yang dinaiki empat lelaki terbabit mengalami kerosakan sebelum dihanyutkan sehingga ke perairan negara, namun bot itu karam di pulau berkenaan pada Isnin lalu.

Menurutnya, empat nelayan yang berasal dari Tanjung Balai, Asahan keluar ke laut untuk menangkap ikan di kawasan perairan Panipahan, Indonesia.

“Menurut laporan yang diterima, bot nelayan terbabit mengalami kerosakan selama lima hari empat malam di tengah laut sebelum bot berkenaan hanyut memasuki perairan negara.

“Empat nelayan itu diselamatkan oleh Kapal Diraja (KD) Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditugaskan untuk menyelamat dan kemudian diserahkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut pihak kami, ” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua nelayan terbabit diberikan rawatan sewajarnya dan berada dalam keadaan baik.

NSTP sebelum ini melaporkan, KD Ledang milik TLDM menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia selepas bot dinaiki karam akibat terlanggar batu di perairan Pulau Jarak, 6.30 petang, kelmarin.

Mereka berjaya menyelamatkan diri dan berlindung di Pulau Jarak sebelum disedari sepasukan anggota tentera darat yang bertugas di pulau berkenaan dan melaporkannya kepada TLDM untuk bantuan lanjut.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 8:27pm
d